Wednesday, September 12, 2007

SELANGOR SOLAT TARAWIH 20 RAKAAT

Ketetapan kerajaan Selangor supaya semua masjid dan surau di negeri itu mengerjakan solat Tarawih sebanyak 20 rakaat mencetuskan sedikit polimik di kalangan masyarakat secara senyap.

Sesetengah masjid dan surah sebelum ini mengadakan Tazkirah selepas solat Tarawih lapan rakaat bagi mengekalkan jumlah jemaah yang ramai. Dengan adanya ketetapan itu, mungkin selepas lapan rakaat jemaah Terawih di masjid dan surau di Selangor akan menjadi hanya dua saf seperti yang lepas-lepas.

Polimik ini turut akan dipaparkan dalam Berita TV9 malam ini sebagai 'usik-usik', kerana tiada nas yang menetapkan bilangan rakaat yang perlu dilakukan.

Di bawah petikan laporan mengenai kenyataan Menteri Besar Selangor berhubung arahan itu.

SHAH ALAM (3 Sept.): Kerajaan Selangor mengarahkan semua masjid dan surau di negeri ini mengerjakan solat Tarawih sebanyak 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan kali ini, tidak termasuk solat Witir tiga rakaat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, berkata kerajaan negeri juga membuat ketetapan tidak membenarkan masjid dan surau mengadakan tazkirah bagi mengelak perpecahan dan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam.

Beliau berkata, ketetapan itu juga bertujuan memastikan umat Islam tidak berdebat mengenai jumlah rakaat solat tarawih serta sama ada tazkirah boleh diadakan ketika Tarawih.


“Kita kena ingat siapa kita dan adakah dengan melakukan solat Tarawih lapan rakaat ia sudah dikira sempurna. Namun, jika dilakukan 20 rakaat jangan pula imam baca ayat laju sangat, sehingga sebutannya tak jelas dan akhirnya tak beri manfaat kepada kita.

“Kita tidak benarkan tazkirah ketika Tarawih sebab kita digalak kurangkan bercakap, banyakkan berzikir, membaca al-Quran dan bersedekah, selain berpuasa sepanjang Ramadan," katanya ketika merasmikan majlis penyampaian moreh kepada masjid dan surau seluruh negeri di sini, semalam. (Sumber : Bernama)

No comments: