Tuesday, September 18, 2007

BERBUKA DI RUMAH DATUK SERI NAJIB

(Update dgn foto : Datuk Ibrahim Yahaya (Tiger) antara yang hadir buka puasa rumah TPM - foto celuk AgendaDaily oleh Datuk Bad)


Hari ini seperti tahun-tahun sebelumnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengadakan majlis berbuka puasa untuk teman-teman, ahli-ahli politik, kakitangan kementeriannya dan media.

Lazimnya sejak jam 6:30 petang tetamu sudah mula datang kerana untuk memudahkan mereka mencari tempat letak kereta. Namun bagi mereka yang ada pemandu, tiba 15 minit sebelum masuk waktu berbuka sudah memadai.

Dulu ketika Datuk Seri Najib tinggal di kediaman peribadinya di Jalan Duta tempat letak kereta agak sukar diperolehi. Tetamu terpaksa mencari lorong-lorong di lereng bukit dan tempat lapang antara rumah-rumah jirannya untuk meletak kereta. Bagi mereka yang datang lewat terpaksa menapak kerana kereta diletakkan jauh sehingga lebih 500 meter dari kediamannya.

Kini setelah mendiami rumah rasmi Timbalan Perdana Menteri, Sri Sastria di Putrajaya tempat letak kereta agak luas dan tersusun. Namun kerana bilangan tetamu terlalu ramai, kereta diletak sehingga di luar kediaman, di tepi sepanjang jalan besar.

Biasanya pada majlis-majlis begini ‘orang media’ yang paling selekeh berpakaian. Ahli-ahli politik dan kakitangan kerajaan segak berbaju Melayu, tetapi untuk mengenali ‘orang media’ mudah, mereka hanya berpakaian kerja – kemeja biasa.

Selepas menjamah sedikit kurma, kuih-muih dan segelas air, tetamu biasanya bersolat maghrib berjemaah. Majlis makan yang lebih berat dimulakan sebaik selesai solat. Ketika ini jika tempat duduk tidak ditanda atau dijaga kawan, terpaksalah melopong jadi pemerhati sahaja.

Selesai makan, tiba untuk bersolat isyak dan solat sunat terawih. Jika waktu maghrib surau di Sri Sastria tidak cukup tempat untuk menampung jemaah, kini banyak ruang yang kosong.

Namun kali ini saya tidak dapat memenuhi undangan daripada Pejabat Timbalan Perdana Menteri untuk berbuka bersama-sama jemputan yang lain kerana bertugas. Terima kasih atas jemputan itu Datuk Tengku Sharifuddin!

2 comments:

ibrahim yahaya said...

Sdr Look,

Baru tengok. Tak sangka pula ada orang ambil gambar. Terima kasih.

LEKLOOK said...

Datuk, Orang popular di mana jua berada akan jadi perhatian!