Friday, September 21, 2007

AWAL PAGI DI KAMPUNG BARU

Bersahur di daerah asing
Bersahur di sebuah restoran di Kampung Baru, Kuala Lumpur awal pagi tadi seolah-olah berada di sebuah daerah di Indonesia.

Menunya nasi padang ala Minang, pelayannya telo Indonesia, pelanggannya 90 peratus bercakap Indon, malah program yang disiarkan di televisyen juga menayangkan cerita Indonesia.

Rasa terasing di bumi sendiri!

Mufti Perak beri kuliah subuh
Ketika menyertai solat subuh berjemaah di Masjid Jamek Kampung Baru pagi ini, saya terpandang seorang lelaki pertengahan umur, berbaju Melayu dan berkupiah.

Dia satu-satunya jemaah yang berpakaian begitu. Iras wajah macam pernah saya kenal. Saya kira mungkin dia seorang kakitangan kerajaan, berpakai begitu setiap Jumaat. Dan selepas solat subuh nanti mungkin dia terus pergi kerja.

Saya bersolat betul-betul di belakangnya. Selepas solat dan membaca surah Yasin beramai-ramai, Imam masjid mengumumkan kuliah subuh pagi ini akan disampaikan oleh orang dari Perak.

Beliau ialah Datuk Seri Harusani, Mufti Kerajaan negeri Perak. Orang yang bersolat di depan saya tadi. Beliau berada di Kampung Baru kerana menemani isterinya yang sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Kampung Baru (KBMC), yang terletak bersebelahan masjid. Seperti saya juga, yang menemani ibu malam tadi di hospital.

No comments: